Headlines Today

Berakhirlah Program Kami...

Salam Ukhwah. Alhamdulillah,akhirnya program kami berakhir dengan jayanya diiringi dengan alunan lagu Kau Sahabat dan Teman. Nantikan foto-foto program kami tidak lama lagi. InsyAllah

Program Motivasi solat Bestari di SMK Palong 2

Salam Ukhwah buat semua pengujung blog Usrah Syazuliah. Hari ini masuk hari kedua program motivasi solat bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 2. Kehadiran Usrah Syazuliah umpama pembawa cahaya dalam sanubari mereka. Dengan berbekal 13 orang tenaga fasilitator, Usrah Syazuliah terus mengorak langkah dakwahnya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Barisan fasilitator yang diketuai Amir Lajnah Dakwah & Program, Akhi al-faQir asri memang nampak kelainannya. Insyallah program akan berakhir pada jam 12.30 tghari ini.

PETUA MENGKHUSYUKKAN SOLAT

Solat merupakan tiang agama. Akan tetapi tiang yang ditegakkan tanpa kekuatan dalaman tanahnya akan menjatuhkan rumah yang didirikan. Solat kewajipan kepada semua muslimin. Ikuti tips yang digariskan oleh ulama' dalam mengukuhkan lagi solat kita.


1. Menjaga makan dan minum dari sumber yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang syubahat.
2. Membanyakkan sedekah terutama pada fakir miskin.
3. Jangan menahan membuang air besar atau air kecil sebaliknya hendaklah selesaikan dulu hajat itu.
4. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air kerata pada semua anggota yang wajib serta membaca doa apabila melalui di tiap-tiap anggota tersebut.
5. Memakai pakaian yang bersih lagi kemas serta bau-bauan diharuskan.
6. Sentiasa sembahyang di awal waktu (melainkan ada majlis ilmu atau zikir).
7. Memastikan di hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu.
8. Banyak mengingatkan mati dan menganggapkan sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir sekali dalam hidupnya.
9. Menyedari hakikat yang ia sedang berhadapan dengan ALLAH Yang Maha Agong dan Maha Mengetahui segala rahsia hambanya.
10. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap ALLAH Yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita.
11.Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al-Quran dan segala zikir.
12.Sebelum mengangkat takbiratulihram hendaklah membaca surah An Nas, selawat ke atas Nabi s.a.w. istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan hasutan syaitan.
13. Menumpukan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan atau berpaling semasa dalam sembahyang.
14. Memusatkan seluruh ingatan pada sembahyang dan melambatkan bacaan tasbih semasa dalam rukuk dan sujud.
15. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau di persekitaran sembahyang.
16. Tidak memandang ke kiri dan kekanan sebaliknya hendaklah memandang ke tempat sujud.

Design Button dan Nametag Program SMK Palong 2

Salam pertemuan buat semua ikhwan. InsyaAllah pada 30 oktober inikami akan ke SMK Palong 2 bersama dengan pelajar tingkatan 1 dan 2 SMK Palong 2. Kehadiran kami disana akan diserikan lagi dengan program Kem Motivasi SOlat Bestari. Dibawah ini adalah design nametag dan button yang bakal digunakan di sana. Berminat dengan design hubungi al-faQir di usrahsyazuliah_mans@yahoo.com




“ TOLERANSI DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat. Sesungguhnya amal ibadah adalah salah satu kayu pengukur kualiti keimanan seorang hamba. Semakin tinggi tingkat keimanan, maka semakin banyak pula amal ibadahnya dan sedikit maksiatnya. Demikian pula sebaliknya. Pada hari ini, mimbar Jumaat akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: “Toleransi Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah”.




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai agama yang sempurna, Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara hidup dalam masyarakat majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu pula Allah SWT mengajarkan konsep toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’aam ayat 108:

Maksudnya : “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Kita ditegah mencemuh atau mengejek mereka, kerana mereka akan membalas penghinaan tersebut. Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.




Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan akidah. Sebaliknya jika hak Islam digugat, maka baharulah Islam mengizinkan tindakan yang lebih keras. Ini disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa Islam menyuruh umatnya menghormati penganut agama lain. Oleh yang demikian, sebarang tindakan kekerasan terhadap masyarakat bukan Islam dengan alasan berbeza agama adalah tidak dibenarkan secara syariat.

Sememangnya al-Quran ada menyebutkan tentang prinsip orang Yahudi dan Nasrani yang tidak akan menerima dan terus membenci umat Islam sehingga kita mengikut agama mereka. Namun, sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat sekalian alam, kita tidak dibenarkan memusuhi dan memerangi mereka tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara’.

Penghormatan terhadap masyarakat bukan Islam juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW, tatkala baginda membuat Piagam Madinah. Baginda secara jelas menyebut bahawa orang Yahudi sebagai satu umat. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim (makar), hendaklah dilindungi dan diberi keamanan.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyatakan bahawa:

“Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti saya, dan barangsiapa yang menyakiti saya, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud)

Sebagai umat Islam, kita dilarang menghakimi mereka. Tetapi kita hendaklah tegas dalam menyatakan keesaan Allah SWT. Toleransi bukan bererti kita mengakui kebenaran keyakinan mereka. Islam menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat tidak ada toleransi.

Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar menyeru marilah kita merenung kembali pemahaman agama kita. Semoga dengan itu, kita mampu mencapai misi Islam sebagai agama “Rahmatan lil ‘Alamin” yang tersebar ke seluruh penjuru dunia dan bersesuaian dengan penghayatan konsep Satu Malaysia.

Pemahaman ajaran Islam secara lengkap dan bijaksana akan mempengaruhi strategi dakwah yang berkesan dan teratur, sehingga masyarakat di luar Islam akan tertarik dengan Islam, bukan benci kepada Islam. Kita perlu ingat bahawa kira-kira 40 peratus penduduk negara ini terdiri daripada bukan Islam. Oleh itu, menghormati mereka memberi peluang besar kepada kita untuk berdakwah.

Bersempena dengan kemeriahan bulan Syawal ini kita dapati ada sebahagian umat Islam mengadakan rumah terbuka. Justeru, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan bukan Islam.


Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kaafirun: 1-6)

Sekitar Liqo' bersama Muasas Usrah Syazuliah

Salamullah Alaikum. Bersyukur kepada Allah dengan kasih dan sayangNya kita masih lagi hidup dibumi ini. Dengan satu tujuan mencari keredhaan Allah. Seiring mencari redha Allah, kita juga beruntung diberi nikmat dilahirkan dalam Islam. Sedikit laporan berkenaan Perjumpaan bersama Muasas(pengasas) Usrah Syazuliah iaitu Ustaz Mohd Fazli bin Othman. Beliau yang sedang bercuti dari pengajian di Al-Azhar memberi sedikit perangsang kepada semua Nuqaba' agar tidak berputus asa dalam memperjuangkan agama Allah. Disamping itu beliau juga berpesan agar tidak lupa untuk mengislahkan diri sebelum mengislahkan diri orang lain. Sementara itu, sebelum beliau menutup majlis beliau juga berpesan bahawa maut sering kali menjenguk kita dan beliau juga berbanggan dengan pengurusan Usrah Syazuliah yang tidak disangka oleh beliau. Majlis tamat tepat jam 9.30 malam.
Ustaz Fazli memberi perangsang semangat.



Kem Motivasi Solat Bestari

Salam Pertemuan kepada ikhwan. InsyaAllah, Pihak Usrah Syazuliah akan menganjurkan KEM MOTIVASI SOLAT BESTARI di SMK PAlONG 2 pada 30 Oktober hingga 1 November 2009 ini. Sebarang Pertanyaan boleh hubungi Ustaz Nizam ditalian 0192705039 atau Mohd Asri 0132620313

PESANAN ALMARHUM SAYYID MUHAMMAD


Assalamulaikum warahmatullah wabarakatuh. "Tiadalah kelazatan hidp itu melainkan bersahabat dengan orang-orang miskin(ulama') yang pada hakikatnya mereka adalah sultan-sultan dan pengimarah bumi ini"- Imam Ibn Atoillah As-Sakandari. Kedatangan Sayyid Ahmad ibn Sayyid Muhammad ke Houl Sayyid Muhammad kali ini lebih meriah dan penuh bermakna. Sambutan Houl kali ini bukan mengundang Sayyid Ahmad tetapi ramai lagi Ulama' yang turut hadir. Dimulakan dengan nasihat yang disampaikan oleh Habib Omar Al- Aidrus dari Terengganu. Selepas itu barulah Sayyid Ahmad memberikan nasihatnya kepada semua yng hadir di Maahad As-Sofa. Disamping itu beliau juga turut membacakan manaqib ayahandanya Almarhum Sayyid Muhammad al-Maliki. Selepas solat isyak giliran Syeikh Muhammad Fuad pula menyambung memberi nasihat. Antara nasihatnya adalah supaya memuliakan orang dimuliakan oleh Allah seperti Ulama'. Selepas itu dua orang Habib dari Palembang juga merupakan anak murid kepada Almarhum Sayyid Muhammad memberi nasihat. " Dua perkara yang bila engkau mengingatinya, ianya akan mendekatkan engkau kepada Allah, iaitu Nabimu dan Gurumu" pesan Habib hamid dari Palembang. Selain itu, Habaib ini juga menceritakan pengalaman menuntut ilmu bersama Almarhum Sayyid Muhammad. Didalam ucapannya,beliau memberitahu pesanan yang disampaikan oleh Almarhum Sayyid Muhammad Al-Maliki Al-Hasani
Pesanan beliau adalah:
1. Memperbanyakkan Zikir kepada Allah Azza Wajalla
2. Memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
3. Memperbanyakkan Sadaqah jariah.
Semua amalan ini adalah penting bagi kehidupan seorang muslim. Mahu tidak mahu kehidupan kita tidak terlepas dari semua ini. Selepas solat kita berzikr, dalam solat kita berselawat, dan luar selawat kita bersedekah. Majis yag diadakan secara besar-besaran bertempat di Maahad As-Sofa. Pihak Usrah Syazuliah yang diwakili oleh Muhd Zulhafizi, Hj Umar, Khairul Anuar, mohd Asri, Mohd Faiz, Al-Khusari dan Farid sememangnya memberikan suntikan kepada kami untuk terus berusaha mengembangkan Dakwah Islamiah. Jemaah diutamakan, Ibadah dipertingkatkan! One Ummah

Keistimewaan Puasa Enam Syawal


Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Sumber:Ukhwah.com

Various Headlines