Headlines Today
Gerhana Matahari, Satu Peringatan!!
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jemaah sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sempena kejadian gerhana matahari pada petang ini, mimbar akan membicarakan tajuk: “Gerhana Matahari Satu Peringatan ”.
Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,
Sesungguhnya kejadian gerhana bulan dan matahari adalah dua tanda yang membuktikan bekesaran, keluasan, kehebatan ciptaan, dan kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia. Dua minggu lalu kita menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui kejadian gerhana bulan. Hari ini, kita sekali lagi berpeluang menyaksikan pula kejadian gerhana matahari yang jatuh pada hari Jumaat di bulan Muharram 1431.
Dengan mengamati kehebatan dan kesempurnaan sistem perjalanan bulan dan matahari ini, maka akan semakin tinggi ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Walaupun ada di kalangan sesetengah pihak mengatakan kejadian ini sebagai fenomena astronomi dan sifat alam semulajadi, tetapi Islam mengajar umatnya agar menjadikan kejadian yang jarang-jarang berlaku ini sebagai peluang meyingkap tanda keagungan dan kebesaran Allah SWT.
Allah SWT telah banyak menyebut tentang kebesaran dan kekuasaan-Nya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada satu zarah pun dari alam cakerawala ini yang terlepas dari pengawasan Allah termasuk matahari. Tabiat matahari yang beredar di atas paksinya adalah bukti kepatuhan makhluk ini kepada ketentuan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Yaasin ayat 38-40:
Maksudnya: “Dan matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”
Menginsafi betapa kehebatan kejadian di alam ini, maka Islam menganjurkan umatnya mendirikan solat khusus sempena kejadian gerhana matahari. Hakikatnya, kejadian ini memberi banyak pengajaran khususnya dalam mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT.
Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,
Gerhana matahari yang berlaku adalah perintah Allah untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat, memohon ampun dan sentiasa membesarkannya. Perbuatan ini adalah sunat muakkad kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya ketika berlaku gerhana matahari. Apabila terjadinya gerhana matahari, baginda SAW bergegas ke masjid menyeru kaum muslimin untuk bersama solat gerhana matahari. Selesai daripada solat, baginda SAW naik ke mimbar menyampaikan khutbah yang mengandungi nasihat yang sangat penting. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a:

Mafhumnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, bersolatlah dan bersedekahlah. Wahai umat Muhammad, tidak ada yang lebih cemburu (marah) mengatasi kemarahan Allah atas perbuatan zina di kalangan hamba-Nya sama ada lelaki atau perempuan. Wahai Umat Muhammad, demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”. (Hadith riwayat Muslim)
Antara intisari nasihat baginda ini ialah pertama, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan serta berserah diri hanya kepada Allah; kedua, banyak merenung rahsia ciptaan Allah supaya memperoleh rasa cinta yang tinggi; ketiga, berwaspada menghadapi fitnah zina; dan keempat, kemuncak taqwa ialah kurangkan keseronokan dan banyakkan keinsafan.
Muslimin Muslimat Yang Dimuliakan,
Perlu kita insafi bahawa sekalipun matahari adalah makhluk Allah yang hebat dan tidak pernah derhaka kepada Allah, namun ia tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah. Justeru, tidak hairan manusia yang merupakan makhluk kerdil ini pun ditimpa pelbagai kesulitan dan kepayahan; lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang menderhakai Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mu’min ayat 58:

Maksudnya: “Dan sememanganya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang yang beriman serta beramal salih dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat kamu beringat dan insaf.”
Ayat tadi mengingatkan bahawa seseorang itu tidak akan ditimpa mudarat kecuali pada dua perkara. Pertama, mereka enggan atau lalai mengingati kebesaran Allah SWT; dan kedua, mereka ingkar mematuhi perintah dan tegahan Allah SWT. Ingatlah, golongan yang lalai daripada mengingati Allah adalah golongan yang rugi sepanjang hidup dan tertutup pintu ke syurga. Manakala golongan yang ingkar perintah Allah adalah golongan yang melakukan maksiat dan terbuka untuknya pintu ke neraka.
Mengakhiri khutbah ini, mimbar sekali lagi menegaskan bahawa kejadian gerhana matahari ini memberi iktibar kepada kita beberapa perkara iaitu:
(1) Menambah keyakinan kita bahawa sekalian makhluk adalah di bawah penguasaan Allah.
(2) Menunjukkan bahawa kita sentiasa terdedah kepada cubaan dan dugaan Allah.
(3) Memperlihatkan bayangan peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat kelak, dan
(4) Kedatangan azab Allah bukan sahaja terkena kepada yang berdosa, malah kepada mereka yang salih.
(5) Berdoa sewaktu melihat kebesaran Allah adalah amalan golongan solihin.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah SAW kerana ia adalah jalan yang membawa kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Semoga dengan itu kita lebih bertaqwa dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.

Maksudnya: “Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan Kami telah berikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menurunkan tanda-tanda itu melainkan untuk menjadi amaran.”. (Sural al-Israa’: 59)

Khutbah Kedua


Maksudnya: “Ia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu? Maka (hari kiamat akan datang) apabila pandangan menjadi berpendar-pendar (kerana gerun takut). Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. Maka pada hari itu, berkatalah manusia: Ke manakah hendak melarikan diri? Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.”



“ TOLERANSI DENGAN ORANG BUKAN ISLAM
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat. Sesungguhnya amal ibadah adalah salah satu kayu pengukur kualiti keimanan seorang hamba. Semakin tinggi tingkat keimanan, maka semakin banyak pula amal ibadahnya dan sedikit maksiatnya. Demikian pula sebaliknya. Pada hari ini, mimbar Jumaat akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: “Toleransi Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sebagai agama yang sempurna, Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara hidup dalam masyarakat majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu pula Allah SWT mengajarkan konsep toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di muka bumi ini.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’aam ayat 108:
Maksudnya : “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Kita ditegah mencemuh atau mengejek mereka, kerana mereka akan membalas penghinaan tersebut. Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.
Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan akidah. Sebaliknya jika hak Islam digugat, maka baharulah Islam mengizinkan tindakan yang lebih keras. Ini disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa Islam menyuruh umatnya menghormati penganut agama lain. Oleh yang demikian, sebarang tindakan kekerasan terhadap masyarakat bukan Islam dengan alasan berbeza agama adalah tidak dibenarkan secara syariat.
Sememangnya al-Quran ada menyebutkan tentang prinsip orang Yahudi dan Nasrani yang tidak akan menerima dan terus membenci umat Islam sehingga kita mengikut agama mereka. Namun, sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat sekalian alam, kita tidak dibenarkan memusuhi dan memerangi mereka tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara’.
Penghormatan terhadap masyarakat bukan Islam juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW, tatkala baginda membuat Piagam Madinah. Baginda secara jelas menyebut bahawa orang Yahudi sebagai satu umat. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim (makar), hendaklah dilindungi dan diberi keamanan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyatakan bahawa:
“Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti saya, dan barangsiapa yang menyakiti saya, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud)
Sebagai umat Islam, kita dilarang menghakimi mereka. Tetapi kita hendaklah tegas dalam menyatakan keesaan Allah SWT. Toleransi bukan bererti kita mengakui kebenaran keyakinan mereka. Islam menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat tidak ada toleransi.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar menyeru marilah kita merenung kembali pemahaman agama kita. Semoga dengan itu, kita mampu mencapai misi Islam sebagai agama “Rahmatan lil ‘Alamin” yang tersebar ke seluruh penjuru dunia dan bersesuaian dengan penghayatan konsep Satu Malaysia.
Pemahaman ajaran Islam secara lengkap dan bijaksana akan mempengaruhi strategi dakwah yang berkesan dan teratur, sehingga masyarakat di luar Islam akan tertarik dengan Islam, bukan benci kepada Islam. Kita perlu ingat bahawa kira-kira 40 peratus penduduk negara ini terdiri daripada bukan Islam. Oleh itu, menghormati mereka memberi peluang besar kepada kita untuk berdakwah.
Bersempena dengan kemeriahan bulan Syawal ini kita dapati ada sebahagian umat Islam mengadakan rumah terbuka. Justeru, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan bukan Islam.
Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kaafirun: 1-6)
“ RAMADHAN JALAN MENUJU TAQWA”
(21 OGOS 2009 / 30 SYAABAN 1430H)Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Bulan Ramadhan yang suci datang lagi, maka marilah kita bersungguh-sungguh mengambil peluang keemasan ini untuk membaiki dan meningkatkan prestasi akhlak supaya kita dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan puasa kita kali ini menjadikan kita insan yang bertaqwa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “ Ramadhan Jalan Menuju Taqwa.”
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang istimewa kepada hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu hádala berkaitan fadhilat yang banyak dalam bulan suci Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati akan melonjak, roh akan bersinar dan bercahaya serta manusia siap untuk menjadi insan yang bertaqwa.
Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, manusia adalah produk dan makhluk ciptaan Allah. Sebagai manusia kadang kala kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai produk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan sebagai bulan khusus membersihkan dosa dan menerapkan nilai-nilai yang terpuji sebagai usaha kesinambungan membersihkan diri dan mengembalikan fitrah akhlak manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Dengan demikian wahai jemaah sekalian, marilah kita dengan niat yang tulus dan hati yang suci memohon dan berdoa agar Allah membimbing kita melakukan puasa dengan penuh agar mampu membentuk insan yang bertaqwa.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,
Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan bertaqwa bukanlah perkara yang mudah, kita menghadapi cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa. Martabat pertama ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa. Martabat kedua pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum. Manakala martabat ketiga puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat Islam yang hebat dan cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.
Wahai jemaah sekalian, mereka yang memiliki ketinggian taqwa, tidak pernah membezakan antara bulan Ramadhan atau kesebelasan bulan yang lain untuk berubah. Apa yang nyata, roh Ramadhan dan ibadah-ibadah yang lain terus membimbing mereka menjadi insan soleh.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,
Sama ada kita sedar atau tidak, berpuasa telah menunjukkan betapa Islam dan mereka yang bertaqwa sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah SWT. Pada masa sama, kita perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita perolehi siang dan malam itu, terselit hak-hak golongan tertentu seperti golongan fakir miskin dan dhaif.
Hakikatnya puasa yang melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelak diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan dosa.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekelian,
Puasa Ramadhan adalah jalan menuju taqwa. Selari dengan matlamat ini mimbar menyeru, marilah kita sama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:
1. Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.
2. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan kasihanilah anak-anak yatim.
3. Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang mukmin.
4. Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan selawat ke atas nabi SAW.
5. Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir.
6. Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat Allah serta redha dengan ketentuan-Nya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Esok kita mula berpuasa dan malam ini kita mula bersolat terawih. Bersedialah kita untuk memasuki bulan yang mulia ini dengan penuh rasa gembira. Penuh harapan untuk mendapat keampunan dan keredhaan-Nya.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl:97)
di Ambang Ramadhan
Khutbah Jumaat (14 OGOS 2009)أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
فد هاري جمعة يغ فنوه بركه دان دالم مسجد يغ سوخي إين، ماريله كيت سام۲ ممبينا دان منيغكتكن كتقوءن كفد الله سبحانه وتعالى دغن برسوغكوه۲ ملقسناكن سضالا فرينته دان منيغضلكن سضالا تضاهنث. موده۲هن كيت منجادي إنسان صالح دان مندافت كجياءن ددنيا دان أخيرة. . تاجوق خطبه كيت فد هاري اين اياله" دأمبغ رمضان".
سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
ددالم القراءن تيدق مثبوت بولن محرم تتافي كيت ممبوات سمبوتن مريه سمبوتن مع الحجرة. دمكين جوض دالم القراءن تيدق مثبوت بولن ربيع الاول تتافي اومت اسلام مثمبوت مولد الرسول دغن فنوه كهيبتن. باضايمانافون الله مثبوت سخارا خصوص دالم القراءن تنتغ كلبيهن دان كبركاتن بولن رمضان. اين منونجوقكن بولن رمضان اداله بولن يغ امت إيستيميوا كفد اومت اسلام كران وقتو مالم دان سياغ اي مثاجيكن فلباضاي كبركاتن. اوليه ايت، رمضان مروفاكن ساتو بولن موليا يغ سنتياس دتوغضو دغن فنوه كضمبيراءن. فرمان الله سبحانه وتعالى دالم سورة البقرة اية 185:
ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ
مقصودث:" بولن رمضان يغ فد مولاث دتورونكن القراءن، منجادي فتونجوق باضي سكالين ماءنسي، دان منجادي كتراغن۲ يغ منجلسكن فتونجوق دان فربيذاءن(انتارا بنر دان ساله ) ".
برداسركن ايات اين مك جلس بولن رمضان اداله بولن يغ فنوه كبركاتن يغ فرلو اومت اسلام مغجر مغمبيل كسمفاتن. كتيك مغولس كلبيهن اين رسول الله برسبدا :
قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.
مفهومث: سسوغضوهث تله داتغ كفدمو بولن رمضان، بولن يغ دبركاتي. الله ممرينتهكن برفواس ددالمث. دالم بولن رمضان دبوك سضالا فينتو شرض دان دتوتوف سضالا فينتو نراك دان دبلغضو سضالا شيطان. دالمث دالم ساتو مالم يغ لبيه باءيق دري 1000 بولن. بارغسياف تيدق دبريكن كفدث كباجيقكن مالم ايت، برارتي تله دحرامكن باضيث سضالا روفا كباجيقكن."(حديث رواية احمد).
سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
كادغكالا تردافت دكلاغن كيت مغعاملكن عباده فواس برفولوه۲ تاهون اتاو بربلس۲ تاهون تتافي تيدق براوفاي ممبنتوق انسان صالح. مغناءي فركارا اين رسول الله صلي الله عليه وسلم مغيغتكن اومت اسلام دالم حديث يغ دراية اوليه احمد يغ مفهومث:
"تردافت اومت اسلام برفواس تتافي تيدق ممفاوليهي اف۲ كخوالي سقدر لافر سمات۲. بتاف راماي اورغ برصلاة مالم تتافي تيدق ممفراوليهي اف۲ ملاءينكن سقدر برجاض مالم سمات۲."
فرسوءلن بسر تيمبول إياله مغاف كيت برفواس، برصلاة دان مغعاملكن عبادة لاءين تتافي تيدق ممنوهي ستندرد(standard) فياواين ( piawaian) يغ تله دتتفكن الله دان حكوم شرع. برداسركن فمرهاتين منبر، كاداءن اين برلاكو كران عباده ايت دبوات تنفا علمو، تيدق ممبوات فرسيافن تليتي دان دبوات سقدر إكوت۲تن.
سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
دالم اوسها اونتوق مثمبوت رمضان سمبيلن (9) هاري لاضي، مك منبر إيغين منجادغكن سيدغ جمعة دان اومت اسلام سكلين مغمبيل لغكه برإيكوت:
فرتام: ممبوات فرسدياءن دري سودوت علمو. كيت فرلو فهم تنتغ سيلوق بيلوق حكوم فواس، شرط۲ صح فواس دان عمالن۲ يغ دتونتوت دالم بولن رمضان سفرتي ممباخ القراءن، اداب براعتكف دالم مسجد، قيام الليل، صدقه دان لاءين عباده.فمهامن يغ جلس تنتغ فواس اكن ممبري كسن يغ مندالم كفد ديري سساورغ.
كدوا: مولاءي سكارغ كيت هندقله ممبوات فرسدياءن منتل دان روحاني اونتوق مغهدافي سواسان رمضان يغ سخارا إينتينسيف(intensif) ملاتيه اومت مندكاتي الله دان ممبنتوق اخلاق موليا.
كتيض: ممبوات فرسدياءن دري سضي فيزيكل اتاو توبوه بادن باضي ممستيكن تاهف كصيحتن يغ باءيق. كصيحتن يغ باءيق اكن مننتوكن كيت بوليه ملقسناكن عباده دغن سمفورنا. اوليه ايت فستيكن كواليتي دان موتو مكانن ايت برزت، ماكن دغن سدرهانا، فرسكيتارن رومه يغ برسيه دان تيدور يغ خكوف.
كامفت: كيت فرلو برجيمت خرمت دان عمالن اين اكن ممبوليهكن كيت ملقسناكن ذكاة دان ممفرباثقكن صدقة كفد مريك يغ ممرلوكنث.
كليم: إيبو باف برتغضوغجاوب ممبيمبيغ دان مننتوكن اهلي كلوارض ممبوات فرسيافن تليتي سرت مووجودكن سواسانا كايمانن سفرتي صلاة برجماعه صلاة فرض دان برجماعه تراويه درومه اتاو دمسجد.
سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
سباضاي رنوغن جماعه دان اومت اسلام دالم كايمانن كفد الله سبحانه وتعالى مك كيت حياتي فرمان الله دالم سورة العنكبوت اية 58 :
ﮆ ﮇ ﮈ ﮉ ﮊ ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ
مقصودث: "دان اورغ۲ يغ برإيمان دان برعمل صالح، كامي اكن تمفتكن مريك دالم مهليضاي۲ دشرض يغ مغالير دباوهث ببراف سوغاي، دميكيانله بلاسن يغ سباءيق۲ث باضي اورغ يغ برعمل صالح ".
PEMBUDAYAAN AL-QURAN BERMULA DARI RUMAH
PEMBUDAYAAN AL-QURAN BERMULA DARI RUMAH(17 JULAI 2009 / 24 RAJAB 1430H)
الحَمْدُ ِللهِِ الَّذِيْ هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا الله. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالىَ:-
بسم الله الرحمن الرحيم،
(سورة العلق : 1-5)
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Marilah sama-sama kita Bertaqwalah kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala laranga-Nya. kita hendaklah menjadikan tuntutan Islam dihayati dan diamalkan dalam dalam urusan kehidupan. Marilahg kita jadikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah yang menjadi petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat. Kita mesti yakin bahwa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala macam penyakit mahupun rohani atau jasmani yang sedang menimpa masyarakat manusia hari ini.
SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Khutbah Jumaat pada hari ini akan membicarakan satu tajuk yang penting iaitu : " PEMBUDAYAAN AL-QURAN BERMULA DI RUMAH ". bahwa rumah adalah suatu institusi tarbiah yang ulung dan terawal dalam membentuk sahsiah peribadi Muslim. individu yang terdidik melalui institusi keluaga ini akan memberi kesan positif kepada pembinaan masyarakat keseluruhannya, seterusnya memacu pembangunan negara yang seimbang dari sudut rohani dan pembangunan material. Ayat al-Quran dari surah al-Alaq yang dibacakan tadi mengambarkan berapa pentingnya membaca, mempelajari, mengkaji dan menghayati al-Quran. Kepentingan membaca dan mempelajari seterusnya membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan. Kegemilangan ummat Islam pada kesuatu masa dahulu adalah kerana mereka berpegang teguh dan menghayati al-Quran. Ummat Islam pernah kejayaan demi kejayaan dan mampu mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Al-Quran diturunkan bertujuan untuk memandu manusia ke jalan yang benar, memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, menjadi penawar, peringatan dan cahaya yang menjadi pedoman dan panduan hidup.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 57 yang berbunyi :
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : " Wahai ummat manusia ! sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakat batin yang ada didalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman ".
SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,
Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi merealisasikan pembudayaan al-Quran di rumah antaranya :-
1. Adalah menjadi kewajipan ibu bapa menunjukkan contoh teladan kepada ahli keluarganya. Ibu bapa hendaklah sentiasa membaca al-Quran di rumah dan memastikan al-Quran dibaca oleh ahli keluarga. Mengapa kita mempunyai masa untuk membaca akhbar, majalah, menonton telivision (TV), melayari internet dan lain-lain ? Kenapa tidak boleh kita memperuntukkan sedikit masa antuk membaca al-Quran? marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :
ِاقْرَوُوا القُرْءآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ.
Maksudnya : " Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ".
(Riwayat Muslimi )
Kita sebagai ummat Islam sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Mereka yang membaca al-Quran, mendengar malah melihat al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah s.w.t.. Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :
مَنْ قَرَأَ حَرفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنةٌ، والحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لآ أَقُوْلُ ( ألم ) حَرْفٌ، وَلَكِنَّ أَلِفٌ حَرْفٌ وَ لاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ.
( Riwayat al-Tirmizi )
Maksud hadis tersebut : " Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf ".
( Hadis riwayat Muslim )
2. Ibu bapa perlu memprogramkan penghayatan al-Quran di rumah secara bersistematik dengan memperuntukkan masa selepas solat Maghrib umpamanya sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran dengan memanfaatkan masa tersebut bersama ahli keluaga. Selain itu, galakkan kepada anak-anak dan ahli keluaga dengan memberi hadiah atau seumpamanya sebagai motivasi kepada mereka untuk mendekatkan dengan al-Quran. Mengapa ada dikalangan kita sebagai ibu bapa merasa sangat sedih, kecewa atau dukacita sekiranya anak-anak kita gagal dalam pelajaran akademik ? Dan kenapa tidak ramai merasa sedih atau kecewa jika anak-anak tidak tahu atau buta membaca al-Quran ? .
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Pelbagai usaha dan program dilaksanakan untuk menggalakkan umat Islam agar sentiasa membaca, mencintai dan menghayati al-Quran. Ini termasuklah melalui program-program kelas pengajian al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), penubuhan kelas-kelas pengajian al-Quran di Masjid, Ma'ahad Tahfiz dan program yang terbaru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF). Ini semua menunjukkan komitmen yang telah diberikan oleh berbagi pihak yang hanya memerlukan sokongan dan dokungan dari kita semua .
Khutbah hari ini bolehlah disimpulkan :
1. Rumah yang tidakdibacakan al-Quran bagaikan tanah kubur yang sunyi sepi dan akan terhindar dari rahmat Allah s.w.t.
2. Ibu bapa adalah contoh terbaik bagi anak-anak. Mereka hendaklah memulakan amalan membaca al-Quran dan sentiasa memberi galakkan kepada ahli keluaga mereka.
3. Membaca al-Quran bukan sahaja merupakan suatu ibadah, bahkan dalam masa yang sama ia juga mampu menjadi penawar kepada segala penyakit, seperti penyakit jiwa, emosi, kecelaruan fikiran, penyakit social termasuklah penyakit hati.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : " Dan kami turunkan al-Quran sesuatu yang boleh menyembuhkan penyakit ( hati ) dan menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim ( disebabkan keingkaran mereka ) melainkan kerugian jua " .
( Surah al-Isra' ayat : 82 )
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْآنِ الْعَظِيْم، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بما فيه من الآْيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْم، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم.
PERANAN IBU BAPA DAN MASYARAKAT DALAM MEMBENTERAS GEJALA DADAH
PERANAN IBU BAPA DAN MASYARAKAT DALAMMEMBENTERAS GEJALA DADAH
(10 JULAI 2009 )
الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, agar hidup kita sentiasa dicucuri rahmat dan keberkatan oleh Allah s.w.t.
Kita juga sewajarnya bersyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t., di mana kita boleh hidup selesa, aman dan damai. Disamping kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna, tidak sebagaimana di sesetengah negara yang sentiasa dilanda dengan pelbagai wabak penyakit, bencana alam, kebuluran, peperangan dan sebagainya. Dan yang terbaru masih segar dan kekal dalam ingatan kita gempa bumi yang melanda negara jiran Indonesia yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan memusnahkan harta benda dalam sekelip mata.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Dalam kita berusaha meningkatkan ketaqwaan dan kesyukuran kepada Allah s.w.t. sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagian rumahtangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Bahkan banyak jiwa yang terkorban, semuanya berpunca dari angkara dadah.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementeraian Keselamatan Dalam Negeri, menunjukkan masyarakat melayu atau umat Islam yang paling ramai berbanding kaum lain. Kita juga dimaklumkan mengenai statistic penagih dadah yang dikesan seramai 31 orang penagih baru dan 42 orang penagih berulang setiap hari.
Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Dalam hal ini, para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa menagih dadah hukumnya adalah haram di sisi Islam. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinyasupaya kamu berjaya”.
Dan sabda Rasulullah s.a.w.
كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ
( حديث رواه مسلم )
Maksudnya : “ Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram ”.
Berdasarkan ayat al-quran dan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif dengan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan bekalan termasuk menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.
Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,
Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ecstacy, pil kuda, syabu, daun ketum, ubat batuk dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ia tidak sesekali terkecuali dari pengertian khamar dan hukumnya tetap sama.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
لَيَشْرَبَنَّ أُنَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ وَيُسَمُّوْنَهَا بِغَيْرِاسْمِهَا
(حديث رواه ابو دأود)
Maksudnya : “ Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain “.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pernahkah kita terfikir, apakah akibat yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak?. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَآبِدِ وَثَنٍ ( أو قما قال )
(حديث رواه ابن ماجه)
Maksudnya : “ Penagih khamar ( penagih dadah ) sama seperti penyembah berhala ”.
Menurut al-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.
Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharajalela dalam masyarakat kita?.
Maka bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah Peringkat Antrabangsa yang disambut pada 26 Jun 2006. Marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api neraka dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.
Justeru, kita sebagai ibu bapa hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawab untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah menkhianatinya.
Begitu juga, masyarakat hendaklah berperanan membantu membendung dan membenteras ancaman dadah dalam masyarakat kita dengan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut dibahu pihak berkuasa atau polis semata-mata. Kerana kesedaran masyarakat tentang akibat buruknya kesan penagihan dadah dapat mengawal serta menghalang dari merebaknya gejala dadah. Dan yang terpenting masyarakat juga hendaklah memainkan peranan membantu proses pemulihan dan berupaya membantu bekas-bekas penagih menjalani kehidupan baru bebas dan sihat tanpa dadah.
Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain di antaranya :
Pertama : Pastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna
Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan solat cukup lima waktu dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh menjamin seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Kedua : Biasakan Anak-anak membaca al-Quran
Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak membaca al-quran. Ditambah dengan mengerjakan solat sunat, zikrullah dan lain-lain lagi kerana faedahnya amat banyak. Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 :
Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
Sebaliknya orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar.
Ketiga : Amalkan Perkara Amar Ma’aruf Nahi Mungkar Dalam Kehidupan
Kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar ma’aruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga batasan dalam pergaulan, menjaga aurat serta menjaga akhlak dengan merasa malu dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar termasuk penyalahgunaan dadah.
Keempat : Mewujudkan Suasana Harmoni Dalam Rumahtangga
Rumahtangga yang harmoni dapat melahirkan suasana keluarga yang bahagia serta anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Yang paling penting elakkan anak-anak hidup berfoya-foya tanpa tujuan dan faedah kerana ia boleh membuka ruang kepada mereka untuk berjinak-jinak dengan dadah.
Kelima : Tanamkan Didikan Kepada Anak-Anak Supaya Benci Dadah serta Sentiasa Berhubung Dengan Pihak yang Bertanggungjawab.
Penglibatan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah dipertingkatkan, disamping menjauhi tabiat menghisap rokok dan sebagainya. Keadaan ini dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok. Dan yang paling penting jalinan hubungan kerjasama dengan pihak yang bertanggung-jawab seperti Agensi Anti Dadah atau pihak Polis bagi sebarang bantuan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Kaum Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak2 kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutama dengan siapa mereka bergaul? Kemana mereka pergi? Dan apa aktiviti mereka? Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan perihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
( Al-Maidah : ayat 91 )
Maksudnya : “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)”.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
JADIKAN KEHIDUPAN RASULULLAH SEBAGAI MOTIVASI
( 19 JUN 2009 M/25 JAMADIL AKHIR 1439 H )اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ بَعَثَ رَسُوْلَهُ لإِتمْاَمِ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ لِيخْرِجُ النَّاسُ مِنَ الظُّلُمَاتِ اِلى النُّوْرِ وَيَهْدِيْهِمْ اِلَى سَعَادَةِ الدَّارَيْنَ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هَذَا النَّبِيَّ الْكَرِيْمِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ ِإلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain. Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.
SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,
Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.
Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.
Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:
Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.
MUSLIMIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.
Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.
MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.
Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.
Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :
1. SEBAGAI KETUA KELUARGA YANG MULIA DAN BERTANGGUNGJAWAB.
Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
2. SEBAGAI PEMIMPIN YANG BIJAKSANA
Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.
Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :
" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "
Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".
3. MEMILIKI AKHLAK YANG SEMPURNA.
Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :
Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.
MUSLIMIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.
Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.
Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
Various Headlines
Featured Stories
MASA KEHIDUPAN
ARKIB AHMADIAH
- DETIK INDAH BERSAMA RASULULLAH (4)
- E-BULETIN (1)
- ENGLISH SITE (2)
- GALERI FOTO USRAH (11)
- GOLONGAN YG DITEMANI MALAIKAT MULIA (3)
- KHUTBAH JUMAAT (7)
- MASALAH (1)
- PESANAN (21)
- PROGRAM SYAZULIAH (18)
- sampaian (21)
- Sisipan Hidayah (7)
- SISIPAN NUQABA' (6)
- TAZKIRAH (22)
- TAZKIRAH RAMADHAN (14)
- USRAH SYAZULIAH (11)
- WASIAT LUQMAN AL-HAKIM (2)